SEPANG: Seramai 82 bakal jemaah termasuk seorang vokalis sebuah kumpulan popular era 1990-an terpaksa melupakan hasrat menunaikan haji setelah mereka ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
Salah seorang mangsa, Amir UK’s atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56, nyata kecewa sekali gus terpaksa melupakan niatnya untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu bersama isteri, Sarimah Ahmad.
Menurut Amir, pada 9 April lalu, dia bersama isteri yang merupakan seorang penjawat awam dijanjikan tawaran mengerjakan haji secara percuma dipercayai ditaja oleh seorang hartawan, tanpa perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan sendiri.
Jelasnya, semua urusan berkaitan butiran diri, gambar serta nombor pasport diserahkan melalui rakan sekerja isterinya yang turut sama menjadi mangsa penipuan dan mereka dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp ‘Tetamu Allah Haji Akbar 2025’.
Amir berkata, setelah menghadiri kursus haji pada 24 Mei dan seterusnya menerima surat tawaran dengan kepala surat sebuah agensi pelancongan terkenal pada 27 Mei, dia bersama isteri sememangnya sudah teruja untuk berlepas ke Mekah.
“Dalam surat tawaran yang dikeluarkan dengan nama setiap bakal jemaah, kami dijanjikan visa mujamalah dengan penerbangan ke Jeddah yang dicatatkan di situ adalah pada 1 Jun, kira-kira pukul 5 petang. Jadi, pada hari tersebut saya dan isteri terus menuju ke lapangan terbang namun tiada kelibat seorang pun bakal jemaah lain.
“Rupa-rupanya, kami terlepas satu ‘voice note’ di dalam kumpulan WhatsApp yang meminta bakal jemaah supaya tidak berkumpul pada hari tersebut. Bila perkara itu berlaku, saya dan isteri ambil keputusan untuk menginap di sebuah hotel di Sepang dan kembali semula ke lapangan terbang keesokan harinya.
“Apa yang meyakinkan kami yang kami akan dapat juga menunaikan haji adalah ketika dimaklumkan semua bakal jemaah akan diterbangkan ke Jeddah menggunakan sebuah pesawat sewa khas dari Kompleks Bunga Raya awal pagi semalam,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Amir berkata, kesemua harapan tersebut ternyata sia-sia kerana individu tidak dikenali yang dipercayai memegang tiket penerbangan, visa dan pasport kesemua bakal jemaah terbabit sememangnya tidak muncul di lapangan terbang.
Selepas menyedari dirinya sebenarnya adalah mangsa penipuan, dia dan isteri kemudiannya membuat laporan polis di balai KLIA bagi mendapatkan semula pasport milik mereka.
“Selepas membuat laporan polis baru lah kami dimaklumkan bahawa kesemua pasport itu boleh diambil semula di salah sebuah rumah bakal jemaah di Setia Alam, Selangor,” katanya. – UTUSAN