Amir kekal tawar khidmat asah pisau, meskipun untung sedikit

Amir kekal tawar khidmat asah pisau, meskipun untung sedikit

AMIR Abdul Hamid menjual pisau, parang dan golok di kedainya di Teluk Intan, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Jualan pisau melapah daging sempena Hari Raya Aidiladha kali ini merosot apabila kebanyakan orang memilih menggunakan pisau lama yang diasah semula berbanding membeli baharu.

Penjual pisau dan parang, Amir Abdul Hamid, 62, berkata, walaupun menyediakan pelbagai jenis pisau khas untuk melapah daging korban, permintaan untuk membeli sangat kurang.

Katanya, pisau melapah berkualiti tinggi boleh mencecah harga antara RM200 hingga RM500 sebilah, justeru ramai pelanggan lebih cenderung untuk mengasah pisau lama sahaja.

“Mereka anggap pisau baharu tidak berbaloi dibeli kerana hanya digunakan setahun sekali. Jadi, ramai datang minta saya asah pisau lama mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Amir, selagi pisau diasah dengan betul, ia masih boleh digunakan dengan baik tanpa perlu diganti baharu.

“Kalau pisau berkualiti, saya hanya perlukan masa singkat untuk tajamkan dengan mesin. Tapi kalau pisau biasa, ia ambil masa hampir tiga jam untuk jadi benar-benar tajam.

“Walaupun upah mengasah tidak setinggi jualan pisau, saya tetap terima tempahan dan pastikan pelanggan puas hati,” katanya.

Amir satu-satunya penjual pisau di pekan ini dan komited memberi perkhidmatan walau keuntungan tidak seberapa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN