PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju terhadap keputusan itu ketika bersidang 25 Jun lalu.
Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai depan.
“Ia dengan mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rafizi sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun lalu dan akan menghabiskan cuti tahunan.
Selain itu, Nik Nazmi mengumumkan menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 4 Julai depan dan sedang bercuti hingga 3 Julai.
Sebelum ini, Anwar telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi dan bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka.
Bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu dilaporkan membuat keputusan tersebut selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti sebelum ini.
Sementara itu, bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan kerajaan untuk merombak semula intipati RMK13 pada saat akhir yang menurutnya berisiko menjejaskan kredibiliti dasar negara jika dilakukan secara tergesa-gesa.
Ahli Parlimen Pandan itu meminta penjelasan sama ada rombakan berkenaan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada agensi dan pakar-pakar.
“Kenapa isu ‘merombak semula draf RMK13’ ini timbul di saat akhir sedangkan tiada isu ‘rombakan semula’ dibangkitkan sepanjang saya dan Kementerian Ekonomi membentangkan intipati RMK13 sebelum ini?” katanya dalam kenyataan semalam.
RMK13 adalah dokumen dasar penting dan menjadi gam mengikat dasar, program dan sasaran negara bagi tempoh lima tahun dan tidak bersifat politik.
Proses penyediaannya bermula dengan penganjuran Persidangan Permulaan RMK13 pada 5 September 2024 dan pendekatan secara bottom-up, dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas dan input daripada semua pemegang taruh melalui tiga kaedah utama.
Pertama, melalui Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) yang melibatkan perancang dari setiap kementerian dan agensi kebiasaannya dari bahagian dasar untuk merangka dasar dan program masing-masing.
Kedua, menerusi Technical Working Group (TWG) yang melibatkan pakar dalam bidang-bidang khusus seperti GovTech, Penskalaan Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Reformasi Fiskal, Reformasi Pendidikan, Reformasi Kesihatan, RDICE dan sebagainya.
Ketiga, melalui penganjuran Sesi Libat Urus (SLU) antara Kementerian Ekonomi dengan kerajaan-kerajaan negeri, pihak industri dan ahli Parlimen yang berlangsung dari September hingga Disember 2024.-UTUSAN










