JAKARTA: Komposer dan anggota kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, mencuri tumpuan ketika memberikan ucapan khas kepada bekas isteri, Maia Estianty, semasa majlis perkahwinan anak mereka, Al Ghazali, baru-baru ini.
Dalam sebuah video yang tular, Dhani menzahirkan ucapan bahagia kepada Maia kerana mendapatkan lelaki yang jauh lebih baik daripadanya untuk dijadikan suami.
“Saya pun bahagia hari ini bukan sahaja kerana Al. Tapi kerana ibu Al yang juga bahagia kerana mendapat seorang suami yang jauh lebih baik daripada saya,” katanya.
Ucapan Dhani disambut tepukan gemuruh penonton, juga mengejutkan beberapa orang termasuk menantu mereka, model dan pempengaruh, Alyssa Daguise.
Bagaimanapun, Maia dan suaminya, Irwan Mussry hanya tersenyum mendengar ucapan itu.
Momen tersebut dianggap bermakna kerana ini merupakan kali pertama keluar besar mereka berkumpul selepas Maia dan Dhani bercerai sejak 16 tahun lalu.
Perceraian mereka ketika itu menjadi kontroversi panas di Indonesia apabila membabitkan orang ketiga yang juga kawan baik Maia sendiri iaitu Mulan Jameela.
Bukan itu sahaja, selepas bercerai, Dhani dan Maia terus berseteru apabila saling berebut hak penjagaan anak.
Enggan mengenang kembali memori hitam itu, Dhani turut memberi nasihat kepada puteranya, Al Ghazali untuk mendekatkan diri dengan agama yang dianggap jalan keluar kepada semua masalah dalam perkahwinan.
“Kepada Al dan Alyssa, belajarlah banyak tentang agama. Kerana semua persoalan boleh diselesaikan dengan agama,” katanya.
Terdahulu, Al Ghazali dan isteri selamat berkahwin pada 17 Jun dalam majlis tertutup dengan adat Sunda di Jakarta. -UTUSAN