GEORGE TOWN : Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengambil pekerja asing warga Myanmar tanpa pas yang sah, bulan lepas.
Tertuduh, Tan Kah Harn, 38, turut berdepan pertuduhan kedua iaitu membenarkan seorang lagi pekerja asing warga Myanmar tinggal di sebuah premis di Jelutong di sini juga tanpa pas yang sah.
Bagaimanapun, dia yang mengusahakan perniagaan berasaskan perladangan dan pertanian itu tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut ketika ia dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mengambil enam orang pekerja warga Myanmar berusia antara 22 hingga 43 tahun tanpa pas yang sah di sebuah premis di West Jelutong, Jelutong pada 29 Mei, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan boleh hukum di bawah Seksyen 55B (3)akta yg sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun selain dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi dan waktu sama dengan pertuduhan pertama, didakwa telah membenarkan seorang warga Myanmar yang tidak memiliki pas sah untuk masuk atau tinggal di premis tersebut.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959 /1963 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta yang sama. Sabit kesalahan, dia boleh didenda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dilindunginya.
Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan wang jaminan berjumlah RM15,000 bagi pertuduhan pertama manakala wang jaminan sebanyak RM5,000 pula ditawarkan bagi pertuduhan kedua.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, K. Mahendran memohon kepada mahkamah agar wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya mempunyai keluarga untuk ditanggung.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk tujuan serahan dokumen. – UTUSAN