KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar setiap perbelanjaan dikawal rapi dan tidak disalahgunakan oleh menteri atau ahli Parlimen untuk memancing undi sehingga menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar.
Seri Paduka mengingatkan agar pegawai kerajaan harus memastikan setiap keputusan dibuat mengikut syarat dan peraturan ditetapkan, bukannya mengikut telunjuk orang politik.
“Setiap perbelanjaan mestilah dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau ahli Parlimen untuk memancing undi sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar,” titah Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara, hari ini.
Seri Paduka menegaskan, para penjawat awam perlu kekal bebas daripada pengaruh mana-mana parti politik, bersikap berkecuali dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara serta rakyat.
“Semua agensi penguat kuasa mestilah berani dan jalankan tugas dengan penuh integriti. Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan tidak hormat kepada uniform yang dipakai,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong menyeru agar penjawat awam memberikan perkhidmatan yang cemerlang sebagai hadiah kepada Seri Paduka dengan menjunjung prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Seri Paduka bertitah, kesetiaan itu tidak bermaksud menyembah Raja, sebaliknya membawa makna kejujuran dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kepentingan negara dan rakyat.
“Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN