SUNGAI BULOH: Sebanyak 72 peratus daripada jumlah 6,891 veteran yang tamat latihan program latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) pada 2023 berjaya mendapat pekerjaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian ini menyaksikan satu peningkatan berbanding 60 peratus yang direkodkan pada tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, 65.4 peratus telah menjadi usahawan atau bekerja sendiri, manakala 34.6 peratus pula bekerja dengan di bawah majikan.
“Meskipun pencapaian ini memberangsangkan, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan,” katanya pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia, Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL) dan Sijil Perhebat di Kem Sungai Buloh, semalam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan Perhebat perlu menyelidik lebih teliti dan mendalam faktor-faktor yang menyebabkan kira-kira 28 peratus daripada veteran yang terlibat masih belum mendapat pekerjaan.
“Ini bermakna, kita mesti sentiasa terbuka untuk menyemak kandungan latihan, pendekatan yang digunakan serta proses latihan peralihan ini dilakukan, mesti mengikut corak pasaran semasa. Ia mesti bersifat terkini dan tidak lapuk.
“Kita mesti berlapang dada dan sentiasa bersikat terbuka untuk menerima hakikat bahawa masih banyak ruang penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan demi memperluas manfaat Perhebat kepada warga veteran kita,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled berkata, seramai 3,473 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menamatkan program Latihan Peralihan di seluruh Malaysia.
Selain itu katanya, seramai 514 anggota dan veteran ATM dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi inisiatif Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).
Beliau berkata, kementerian komited memperkasa Perhebat sebagai penghubung kerjaya kedua veteran, selari dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Jelasnya, ia memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan sosioekonomi Bakal Pesara dan Veteran ATM melalui tiga fokus utama ke arah pemerkasaan Perhebat.
“Perhebat mesti menjadi institusi yang membantu membangunkan kelangsungan kesejahteraan anggota dan veteran ATM. Dalam usahanya menyediakan latihan dan mengendalikan proses peralihan, Perhebat mesti bergerak dengan cara memastikan para veteran ATM dapat hidup secara berdikari, sejahtera dan produktif melalui latihan peralihan yang mantap.
“Kedua, memperhebat hubungan dengan industri dan pasaran pekerjaan. Kehadiran Perhebat dalam pasaran kerja bukan sahaja membantu institusi ini menjadi lebih dinamik dan berkesan, malah turut membuka banyak ruang pemadanan kemahiran dan pekerjaan berkualiti kepada anggota yang sedang menjalani fasa peralihan,” katanya. – UTUSAN










