PETALING JAYA: Sebanyak 6,000 pelari dari seluruh Malaysia dan negara jiran menyertai acara larian MMC Friendship Half Marathon 2025 yang berlangsung di Forest City, Johor pada minggu lalu.
MMC dalam satu kenyataan berkata, acara larian yang julung kali dianjurkan itu mempunyai tiga kategori jarak iaitu 21.1 kilometer (km), 10 km dan 5 km.
Katanya, majlis pelepasan peserta disempurnakan beberapa tetamu kehormat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy.
“Acara ini sekaligus memberi peluang penyertaan kepada semua golongan daripada atlet kompetitif hinggalah mereka yang hanya ingin beriadah bersama keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh turut menyatakan rasa bangga dan penghargaan atas sambutan luar biasa yang diterima.
“Kami amat menghargai sokongan serta penyertaan yang menggalakkan dari semua pihak yang terlibat. Kami akan terus komited dalam semangat kebersamaan, kesejahteraan dan kerjasama serantau menerusi penganjuran acara seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hairi berkata, MMC Friendship Half Marathon merupakan platform yang menyatukan masyarakat, menggalakkan gaya hidup sihat dan menyerlahkan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan utama.
Dengan tema kesihatan, kecergasan, kelestarian alam sekitar dan semangat komuniti, acara ini membawa semangat positif kepada semua lapisan masyarakat dengan pemandangan alam semula jadi bandar Forest City menerusi sepanjang laluan larian.
Selain acara utama larian, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan seperti permainan dart belon, taman permainan kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma serta gerai makanan dan minuman.-UTUSAN