41 jemaah umrah pertama Andalusia berlepas ke Tanah Suci

41 jemaah umrah pertama Andalusia berlepas ke Tanah Suci

MOHAMAD Taha Hassan (tengah) bersama para jemaah ketika pelepasan kumpulan pertama jemaah umrah Andalusia bagi musim 1447H Hijrah ke Tanah Suci di KLIA Terminal 1. awal pagi semalam - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) melepaskan kumpulan pertama jemaah umrah mereka bagi musim 1447H Hijrah ke Tanah Suci awal pagi tadi.

Kumpulan yang terdiri daripada 41 jemaah itu berlepas dengan pesawat Saudi Arabia kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Pengurus Kanan (Agama dan Bimbingan) Andalusia, Ustaz Mohamad Taha Hassan berkata, kumpulan pertama jemaah umrah ini bertuah kerana mereka dapat merasai suasana musim haji kerana masih ramai lagi jemaah haji berada di Tanah Suci.

Beliau berkata, mereka akan berada selama 10 hari di Mekah dan tiga hari di Madinah di mana jemaah akan dibawa terlebih dahulu menziarahi Kota Tarif sebelum mengerjakan umrah.

“Bagi kumpulan pertama ini, kami menggunakan visa pelancong kerana sistem visa umrah masih belum dibuka lagi, kerana sistem visa umrah akan dibuka pada 1 Muharam 1447H,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah umrah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Katanya, pihaknya telah menerbangkan 50,434 jemaah bagi musim umrah yang lalu dan menyasarkan untuk mengendalikan seramai 80,000 jemaah bagi musim ini.

Mohamad Taha berkata, bagi musim ini, Andalusia menawarkan pakej umrah serendah RM5,900 untuk pendaftaran terawal selain diskaun sebanyak RM200 bagi pendaftaran setiap 10 jemaah dalam resit yang sama sehingga 31 Disember depan.

“Kami juga menawarkan satu pakej umrah percuma bagi setiap 25 jemaah yang mendaftar bersama dalam satu resit dan berpeluang menaiki bas dan penerbangan sama.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai Jejak Impian & Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA) dengan mengikuti ‘live’ setiap Jumaat pada setiap minggu untuk memenangi hadiah-hadiah menarik antaranya hadiah cabutan bonanza iaitu sebuah kereta BYD Sealion 7,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN