3,278 lembu, kambing dikorbankan di Melaka

3,278 lembu, kambing dikorbankan di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 3,278 ekor lembu dan kambing akan dikorbankan di empat rumah sembelih ruminan (RSR) yang telah dilesenkan di Melaka.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri, Dr. Mariati Daud Gan berkata, jumlah ternakan korban tahun ini meningkat sebanyak 2.76 peratus berbanding 3,190 ekor pada 2024.

MARIATI DAUD GAN

Menurutnya, pihaknya turut meluluskan 687 permohonan Permit Sembelihan Luar (PSL) melibatkan surau, masjid serta individu.

Beliau berkata, RSR milik kerajaan ialah Rumah Sembelih Alor Gajah di Masjid Tanah dan Rumah Sembelih Jasin di Lembah Kesang manakala dua lagi milik swasta adalah Rumah Sembelih Utama Megah di Sungai Putat dan Rumah Sembelih Abdullah Sulaiman di Umbai.

“Semua lembu dan kambing telah mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan termasuklah memastikan ternakan korban mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang sah.

“Ini adalah bertujuan untuk memastikan ternakan yang menjalani ibadah korban bebas daripada sebarang penyakit berjangkit yang boleh memberi kesan kepada orang ramai yang memakan daging korban,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Ayer Keroh di sini.

Mariati berkata, SKV dan PSL amat penting untuk memastikan ternakan yang hendak disembelih sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

Katanya, enam pasukan pemeriksa daging melibatkan 31 pegawai ditugaskan di empat RSR, surau serta masjid yang menjalankan aktiviti penyembelihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN