KUALA LUMPUR: Sebanyak 305,000 unit rumah mampu milik disasarkan untuk dibina di ibu negara menjelang tahun 2040 bagi memastikan golongan B40 dan M40 dapat memiliki kediaman di ibu negara.
Sasaran itu adalah antara teras utama Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) dalam memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi bandar dan kebajikan rakyat serta usaha menyantuni majoriti rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata, perumahan mampu milik adalah keutamaan dalam PTKL 2040. Kita tidak mahu Kuala Lumpur hanya menjadi bandar untuk golongan elit.
“Sasaran rumah mampu milik ini penting bagi memastikan rakyat biasa juga dapat terus tinggal, bekerja dan menikmati kemudahan di ibu kota,” katanya dalam ucapan Majlis Peluncuran PTKL 2040 di sini, semalam.
Majis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pengenalan Zon Kediaman 4 (R4) adalah bagi menyokong pembangunan residensi Madani dan membentuk komuniti bandar yang lebih inklusif serta lestari.
PTKL 2040 menyasarkan kewujudan 1.2 juta peluang pekerjaan melalui penyediaan 74 juta meter persegi ruang niaga di ibu negara menjelang 2040.
Ia turut memberi tumpuan kepada pembangunan semula perumahan awam yang uzur dan tidak memenuhi standard persekitaran moden.
Sementara itu Anwar berkata, konsep pembangunan bandar perlu berteraskan nilai manusiawi menerusi pendekatan yang lebih terangkum dan relevan dengan keperluan semasa.
Katanya, perancangan pembangunan tidak lagi boleh bersifat eksklusif atau hanya mengutamakan kelompok tertentu, sebaliknya mesti mengambil kira pemikiran serta keperluan baharu masyarakat bandar, khususnya melibatkan perumahan rakyat dan keselesaan peniaga kecil.
“PTKL 2040 dilancarkan selepas beberapa tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19. Tetapi, selepas kerajaan Madani ambil alih, kita usulkan rombak secara besar-besaran.
“PTKL 2040 adalah dokumen paling komprehensif dan lengkap dalam sejarah yang pernah kita hasilkan. Ia bukan sekadar pelan struktur, tetapi meletakkan prinsip manusiawi sebagai asas pembangunan bandar,” katanya.
Anwar berkata, antara penekanan utama dalam pelan itu termasuk isu rumah mampu milik, pengangkutan awam, peralihan tenaga melalui penggunaan solar, dan cadangan pembangunan sekolah vertikal di kawasan bandar padat.
Katanya, pembinaan rumah baharu pada masa akan datang juga perlu memenuhi syarat mesra alam dengan sistem tenaga solar sebagai langkah ke arah kelestarian.
“Kita mahu bangunan tinggi bukan sahaja menempatkan rumah, tetapi juga sekolah dan tadika. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi memberi kemudahan kepada ibu bapa dan anak-anak.
“Ini bukan hanya menjimatkan bil elektrik rakyat, tetapi juga pelaburan kepada masa depan negara,” katanya.
Anwar berkata, negara tidak boleh terus membangunkan bandar berdasarkan kerangka lama yang tidak fleksibel.
“Banyak projek diluluskan tanpa mempertimbang kesan kepada rakyat. Saya (dulu) pernah tinggal di Segambut dan tertanya-tanya (bagaimana) pembangunan perumahan besar boleh diluluskan begitu sahaja,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kini Malaysia perlu merancang dengan lebih berhati-hati agar kesilapan lama tidak diulang. – UTUSAN