30 peratus lembu korban di Perlis diimport - Utusan Malaysia

30 peratus lembu korban di Perlis diimport

BEKALAN lembu dan kambing di negeri ini adalah mencukupi bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan 551 ekor lembu yang dikorbankan sempena sambutan Aidiladha tahun ini di negeri Perlis adalah diimport,

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri Razali Saad berkata, ia berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Katanya, pada tahun ini, Permit Sembelihan Luar bagi tujuan korban telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri melibatkan sebanyak 551 ekor lembu, 162 ekor kambing dan 25 ekor biri-biri.

“Bekalan lembu bagi tujuan korban di negeri ini adalah mencukupi dalam memenuhi pemintaan orang ramai bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha ini.

“Mengikut data, 95 peratus permohonan permit perjalanan ternakan korban ke lokasi sembelihan seperti masjid dan tapak persendirian juga adalah dari negeri ini manakala baki lima peratus lagi adalah dari Kedah,” katanya semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini memaklumkan bekalan ternakan untuk sambutan Hari Raya Aidiladha dijangka mencukupi dan dapat memenuhi permintaan seluruh negara.

Berdasarkan statistik DVS, stok bekalan ternakan lembu, kerbau, kambing dan bebiri bagi tujuan korban adalah sebanyak 68,971 ekor setakat Mac lalu.

Katanya, jumlah itu meliputi bekalan lembu dan kerbau sebanyak 38,804 ekor, iaitu 35,581 ekor ternakan tempatan manakala yang diimport adalah sebanyak 3,223 ekor.

Dalam pada itu, Razali berkata, bagi mengurangkan kebergantungan rakyat negeri ini terhadap ternakan import, pelbagai insentif telah disediakan bertujuan bagi membangunkan dan mempertingkatkan kapasiti penternakan di Perlis.

“Ini adalah seperti insentif Agropreneur muda, insentif pembangunan lembu hibrid baka bernilai tinggi, insentif pembangunan kandang dan fasiliti ternakan serta insentif pengukuhan pembangunan makanan ternakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN