23.6 juta pengguna terima jadual tarif elektrik baharu

23.6 juta pengguna terima jadual tarif elektrik baharu

warga emas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menerima kadar elektrik baharu menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan oleh kerajaan.

Penetapan tarif baharu itu akan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan peruntukan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember lalu.

“Dengan pelarasan tersebut, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Rugalatori Ketiga (RP3),” katanya dalam kenyataan.

ST berkata, pengenalan jadual tarif baharu itu turut meliputi perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana serta tinggi.

Katanya, ia turut merangkumi penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.

“Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah.

“Melalui insentif ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.

“Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif ini,” katanya.

ST berkata, Skim Masa Penggunaan (TOU) sudah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan pukul 10 malam sehingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

Katanya, ia bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga lebih cekap dan lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN