KUALA LUMPUR: Jangan lepaskan peluang untuk menghadiri dua ekspo gaya hidup terbesar iaitu Tastefully Health & Beauty Expo x Malaysia Pastry Expo 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari sehingga 29 Jun ini.
Penganjuran mega itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa meliputi sektor kesihatan, kecantikan, makanan serta gaya hidup sihat.
Kedua-dua ekspo ini diadakan serentak merangkumi keseluruhan tiga dewan di Mid Valley Exhibition Centre.
Penganjur, Esther Fong berkata, acara tahun ini menampilkan skala dan impak yang jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Tahun lepas kami hanya buka satu dewan dengan sekitar 100 booth sahaj namun untuk tahun ini, sambutan yang sangat memberangsangkan mendorong kami untuk memperluaskan penganjuran kepada dua dewan khas bagi kategori kesihatan dan kecantikan.
“Sebanyak 200 booth disediakan merangkumi produk kosmetik, suplemen kesihatan, pusat rawatan dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Esther, Malaysia Pastry Expo yang berlangsung serentak turut menyumbang kepada lonjakan kehadiran pengunjung, termasuk seisi keluarga, penggiat industri bakeri, barista, serta pencinta kopi dan pastri dari seluruh negara.
“Gabungan dua acara ini adalah pertama kali diadakan dalam skala sebesar ini. Kami menyasarkan kehadiran melebihi 150,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung,” ujarnya.
Majlis perasmian diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti ternama seperti Timbalan Pengerusi Koperasi Pasaraya Berhad, Datuk Ismail Nordin, Amber Chia, Dr. Zyro, Emely Poon dan Inthira.
Acara ini turut mendapat sokongan padu daripada penaja utama iaitu AmLife dan Fitarch, selain penaja bersama seperti B+ Clinic, EE Clinic, Beacon Mart, Shero, iBidan, ToYm Wardrobe, dan Wellous.
Antara sorotan menarik di Tastefully ialah Glow & Beauty Experience iaitu laluan interaktif 10 stesen merangkumi pemeriksaan kesihatan, penjagaan rambut dan kulit serta kesejahteraan mental. Pengunjung yang melengkapkan semua stesen turut layak menerima hadiah eksklusif.
Selain itu, ekspo ini turut menganjurkan aktiviti seperti Zumba Party, sesi perkongsian kesihatan bersama pakar dan Pesta Kek terbesar di Malaysia yang telah dimeriahkan oleh DJ Riesa dengan yuran penyertaan serendah RM20, di mana semua hasil akan disumbangkan kepada Pink Unity Cancer Association.
Sementara itu, Tastefully turut dimeriahkan dengan bengkel ‘baking’ kanak-kanak, latte art, coffee brewing workshop serta pelbagai promosi menarik seperti:
- 1,000 beg hadiah eksklusif setiap hari
- Cabutan bertuah ‘Spend & Win’ dua kali sehari (3 petang dan 8 malam)
- Promosi Happy Hour jam 5 petang dengan produk dijual serendah RM1
Tidak ketinggalan, pertandingan Blogger Rednote yang melibatkan lebih 100 pempengaruh turut diadakan untuk membantu memperluas kesedaran jenama peserta dan mempromosilkan ekspo itu.
Dengan kemasukan percuma, ekspo ini merupakan destinasi wajib dikunjungi oleh semua pencinta kecantikan, kesihatan, makanan serta gaya hidup sihat yang mahu mendapatkan pengalaman membeli-belah, informasi dan inspirasi di bawah satu bumbung. – UTUSAN