19 kambing terkorban kandang terbakar

19 kambing terkorban kandang terbakar 

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran melibatkan sebuah kandang kambing dan beberapa buah kenderaan di Kampung Jawa, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 19 ekor kambing terkorban apabila sebuah kandang penternakan haiwan itu musnah dalam satu kebakaran di Kampung Jawa, Bayan Lepas di sini, hari ini.

Kebakaran yang sama turut menyebabkan tiga buah kereta serta sebuah lori yang kebetulan berada di situ mengalami kemusnahan antara 30 sehingga 90 peratus.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 12.58 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran sebuah kilang.

“Sebaik sahaja sampai di sana, didapati 19 daripada 20 ekor kambing telah mati manakala empat buah kenderaan termasuk lori juga hampir musnah akibat kebakaran itu.

“Api bagaimanapun berjaya dikawal kira-kira pukul 1.07 petang dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 2.21 petang,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kebakaran tersebut dan punca kejadian serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN