PETALING JAYA: Seramai 135 mangsa pelaburan tukaran mata wang asing (Forex) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan agar suspek penipuan itu diheret ke muka pengadilan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebanyak 209 laporan polis telah dibuat mangsa-mangsa yang diperdaya sindiket yang didaftarkan di Kepulauan Seychelles, Afrika.
Katanya, syarikat yang turut menyasarkan mangsa dari Taiwan, Kanada dan China didakwa dimiliki individu warga Malaysia serta mempunyai ejen-ejen rakyat tempatan.
“Mereka menjanjikan pelaburan sehingga tujuh peratus, namun sejak 2021 sindiket terbabit menukar wang pelaburan mangsa kepada bentuk syiling (coin) yang tiada nilai.
“Akibat itu, seramai 209 mangsa mengalami kerugian mencecah RM82.16 juta. Daripada 209 laporan dibuat, sebanyak 105 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta refer to other agency atau dirujuk kepada agensi lain (ROR).
“Walaupun sebelum ini ada tangkapan lima individu oleh polis, namun sehingga kini tiada sesiapa dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Menara KPJ di sini, hari ini.
Mac lalu, PDRM menafikan dakwaan tidak menjalankan siasatan terhadap penipuan pelaburan Forex.
Sementara itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Vincent, 38, berkata, dia menanggung kerugian kira-kira RM120,000 akibat terpedaya dengan pelaburan itu.
Katanya, sebelum melabur, dia telah membuat semakan terhadap syarikat terlibat dan mendapati ia beroperasi secara sah dalam industri pelaburan.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila wang pelaburan dalam aplikasi tiba-tiba ditukar kepada bentuk coin tanpa memberikan alasan munasabah.
“Musnah harapan saya dan keluarga kerana wang tersebut untuk berkahwin dan menampung pembelajaran adik-adik saya,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Ganesh, 50, berkata, dia bersama 10 ahli keluarga dan rakan menanggung kerugian mencecah RM2 juta.
Katanya, mereka memulakan pelaburan pada 2020 selepas tertarik dengan pelan yang ditawarkan dalam satu seminar.
“Kebanyakan kami ketika itu kehilangan kerja dan tertarik dengan pelaburan terbabit kerana syarikat itu sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu. Bagaimanapun, syarikat terbabit tiba-tiba menukar wang pelaburan kami kepada bentuk coin yang tiada nilai.
“Kami faham wang kami tidak dapat dipulangkan, namun berharap suspek-suspek kes ini dapat didakwa ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN