Perang Gaza dijangka berlanjutan

gaza
Perang Gaza dijangka berterusan ekoran kegagalan tentera Israel mematuhi pelan damai yang dicadangkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang Gaza dijangka berterusan ekoran tindakan Israel yang gagal mematuhi pelan damai sebaliknya tetap melancarkan serangan ke atas penduduk Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Cin­ta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, antara tuntutan utama yang masih tidak dipenuhi termasuk pe­ngunduran penuh tentera rejim Zionis dari seluruh wilayah Gaza, seperti yang dirangka dalam fasa kedua dan ketiga pelan gencatan senjata.

“Setakat ini hanya fasa pertama sahaja yang dibincangkan dan malangnya fasa kedua dan ketiga yang merangkumi penghentian perang secara menyeluruh serta pengunduran tentera dari Gaza telah ditolak oleh tentera Zionis.

“Sangat sukar untuk kita jangkakan apa yang berlaku selepas ini. Berdasarkan keengganan rejim Zionis menghormati pelan damai yang disepakati, kebarangkalian besar peperangan akan terus berlanjutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terkini, Mesir dan Qatar me­nyatakan harapan agar persetujuan segera dicapai berhubung cadangan gencatan senjata sementara selama 60 hari antara Israel dan Hamas bagi membuka jalan ke arah gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza.

Meskipun terdapat tekanan antarabangsa termasuk campur tangan dari Amerika Syarikat (AS), Nadir berkata, tiada sebarang perkembangan signifikan berlaku yang menunjukkan komitmen sebenar untuk menghentikan peperangan.

“Campur tangan besar dari AS juga tidak membuahkan hasil. Misalnya, pembebasan Ale­xander, seorang warga AS yang ditawan oleh pihak Hamas, di­sambut dengan janji akan ada gencatan senjata selama 60 hari. Namun, itu juga tidak dilaksa­nakan.

“Ini menunjukkan sama ada AS tidak mampu untuk menghalang Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ataupun tidak mempunyai ke­sungguhan sebenar dalam menyelesaikan krisis ini,” tegasnya.

Sementara itu dalam usaha memperkukuh kesedaran rakyat negara ini terhadap isu Palestin, Cinta Gaza Malaysia bersama Aqsa Defen­ders baru-baru ini, menganjurkan program Perkampungan Gaza Bangkit 1187 di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Su­ngai Petani, Kedah.

Kongsinya, program selama empat hari yang berakhir Ahad lalu, menghimpunkan seramai 15,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian melibatkan jihad digital, ilmu pendidikan dan pemahaman isu Palestin.

“Ini adalah kali pertama per­kampungan bertemakan Gaza diadakan di Malaysia. Melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR), kita berikan gambaran sebenar keada­an di Gaza kepada masyarakat tempatan.

“Saya berharap jerayawara seperti ini dapat diteruskan ke seluruh negara agar sokongan terhadap perjuangan Palestin tidak hanya didasari semangat dan emosi, tetapi juga kefahaman yang kukuh dan berasaskan ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×