Wujud mekanisme baharu harga telur untuk peniaga

Tamat subsidi: Pastikan harga, bekalan telur stabil

NAINA Mohamed menjalankan perniagaan roti telur goyang di Naina’s Roti Bakar, George Town, Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme baharu bagi membantu peniaga khususnya di kawasan luar bandar mendapatkan bekalan telur pada harga berpatutan selepas subsidi bahan mentah itu ditamatkan secara berfasa mulai semalam.

Tinjuan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peniaga menyifatkan pengurangan subsidi memberi cabaran baharu kepada peniaga kecil yang berdepan dengan kos operasi semakin meningkat.

Seorang peniaga baulu, Muhamad Shafiq Mohamad, 27, berharap penamatan subsisi itu tidak membebankan golongan berkenaan.

“Saya berharap harga tidak meningkat terlalu tinggi sehingga menjejaskan perniagaan yang sangat bergantung kepada telur.

“Selaku peniaga kecil, kami berharap kerajaan dapat menstabilkan harga dan memastikan bekalan telur sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya ketika ditemui di Gua Musang, Kelantan, semalam.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan memaklumkan, kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari 10 sen kepada lima sen sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Selain itu, seorang peniaga nasi lemak Hasnah Awang, 52, berkata, dia mahu pelaksanaan penamatan subsidi tidak membebankan rakyat.

“Telur bukan sahaja penting untuk jualan nasi lemak di kedai saya, tetapi sumber protein penting untuk keluarga. 

“Saya berharap langkah ini tidak membebankan rakyat. Kami harap kerajaan terus laksanakan jualan murah seperti Jualan Rahmah bagi membolehkan rakyat mendapat barangan keperluan pada harga murah,” ujarnya.

Turut berkongsi pandangan sama ialah seorang peniaga roti telur di George Town Pulau Pinang, Naina Mohamed, 46, dia amat berharap agar penarikan subsidi barang keperluan itu nanti tidak melibatkan kenaikan harga telur ayam yang melampau

Dalam pada itu, seorang peniaga kek, Siti Khatijah Wahab, 45, berkata, dia bimbang harga telur melambung selepas subsidi telur ayam ditarik balik sepenuhnya nanti.

Katanya, dia hanya menggunakan telur ayam gred A atau B sahaja untuk membuat kek dan kenaikan harga barang keperluan harian itu mungkin menjejaskan perniagaan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu.

“Jadi, mahu atau tidak, saya terpaksa memikirkan alternatif lain sekiranya telur untuk kedua-dua gred itu naik semula. Nak kurangkan kuantiti (telur ayam) nanti akan jejaskan kualiti pula,” katanya.

Namun Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema) Pulau Pinang, Norain Mohd. Noor berkata, kesan penarikan subsidi telur ayam itu dilihat tidak begitu membebankan para peniaga khususnya peniaga-peniaga kecil.

Katanya, penarikan subsidi itu tidak dibuat secara drastik sekaligus membolehkan para peniaga mengimbangkan kos bahan mentah mereka secara perlahan-lahan dan berperingkat.

“Dalam hal ini, apa kami boleh bantu ialah melalui penerangan, panduan dan penganjuran kursus bersangkutan dengan kos sara hidup bersama kementerian berkaitan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN