PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib iaitu Watie Hanifiah reda apabila kehilangan cahaya mata selepas disahkan keguguran pada 11 Mei lalu.
Menerusi hantaran di Instagram, Watie berkata kehilangan tersebut memberi pengajaran besar untuk dirinya agar lebih menghargai anak-anak dan keluarga yang ada.
“Mungkin Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat Mummy. Mungkin Mummy masih belum mampu jadi Mummy yang baik dan adil buat kamu, kakak dan abang-abang kamu.
“Dan mungkin Allah nak Mummy lebih menghargai anak-anak yang Mummy ada sebelum adanya kamu,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Watie berkata dia tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk mengalami saat-saat indah bersama kandungan itu, walaupun seketika.
“Mummy redha walaupun ianya terasa perit untuk Mummy hadapi.
“Mummy tetap bersyukur Allah titipkan kamu walau hanya untuk beberapa bulan yang indah,” katanya.
Dalam pada itu, Watie turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kata-kata semangat ketika dirinya berdepan dugaan paling berat dalam hidupnya.
“Terima kasih untuk kata-kata semangat dari kalian semua. Mummy tak mampu lagi untuk berjumpa dan berbalas. Maaf atas kerja-kerja yang tergendala.
“Mummy masih dalam fasa perasaan paling sedih yang Mummy rasakan dalam hidup Mummy. Tapi dengan kata-kata dari kalian ini jugalah sedikit sebanyak dapat memujuk hati Mummy ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan dalam kalangan netizen bahawa pasangan itu bakal menimang cahaya mata selepas ada yang mendakwa ternampak ‘baby bump’ pada perut Watie.
Terdahulu, Shuib dan Watie telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.-UTUSAN