PETALING JAYA: Bekas wartawan hiburan, Md Nasir Ahmad atau Nas Ahmad, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh pada pukul 9:45 pagi Khamis.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pada usia 63 tahun oleh menantunya, Farhana, selepas mengalami kekurangan oksigen.
“Arwah kekurangan oksigen. Oksigen dia ‘drop’ semalam dan ambulans bawa ke zon merah. Masa rawatan, arwah banyak bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
“‘Pagi tadi, kami terima panggilan daripada pihak hospital menyatakan arwah sudah tiada. Sekarang, jenazah masih di bahagian forensik,” katanya kepada media.
Difahamkan, jenazah bakal disempurnakan di Surau As Sahabah Seksyen 7, Kota Damansara sebelum dikebumikan di tanah perkuburan terdekat selepas Zohor.
Sepanjang hayatnya, Nas Ahmad yang terkenal dengan tagline ‘Kita Terjah’ pernah menjadi wartawan hiburan yang disegani ketika berkhidmat di program Melodi. Sebelum itu, Nas sudah pun menjadi penulis hiburan popular sekitar tahun 80-an.
Terdahulu, media melaporkan Nas Ahmad mengalami masalah jantung semenjak 2023. -UTUSAN