JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini dengan lima pertuduhan memiliki dan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 10 kilogram (kg).
Tertuduh, Tan Ban Choon, 48, mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.
Tiada pengakuan direkodkan berikutan kes sedemikian berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penganggur mengedar dadah jenis serbuk 3,4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 10.024kg.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar sembilan gram (g), kanabis (44g), serbuk 3,4 MDMA (6g) dan ketamin (31.30g).
Kesemua perbuatan mengedar dan memiliki dadah itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Danga Bay di sini, kira-kira pukul 10 malam pada 23 April 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.-UTUSAN