Warga emas aktif merokok berisiko tinggi dijangkiti tibi

Warga emas aktif merokok berisiko tinggi dijangkiti tibi

DR. Rozaini Mat Shah (bertudung merah) ketika menghadiri Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah 2025 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dikenal pasti sebagai antara kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti penyakit tuberkulosis atau tibi di negeri ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Pulau Pinang, Dr. Rozaini Mat Shah berkata, berdasarkan kajian, golongan terbabit yang terdiri daripada kaum lelaki terutamanya perokok aktif adalah lebih berisiko untuk dijangkiti penyakit berkenaan.

“Kelemahan imuniti tubuh juga menjadi punca seseorang individu itu boleh dijangkiti susulan tabiat merokok yang memberi kesan terhadap fungsi paru-paru dan sistem pernafasan mereka.

“Bagaimanapun, dalam hal ini, pengesanan awal dan rawatan yang dilaksanakan boleh meningkatkan peluang untuk sembuh sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah 2025 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Rozaini berkata, walaupun penyakit tibi adalah antara lima penyakit berjangkit yang tertinggi di negeri ini, namun, kadar penurunan penyakit terbabit berjaya dicatatkan menerusi statistik tahun lepas.

“Bagi tahun 2024, sebanyak 1,273 kes pesakit tibi baharu dan berulang telah dilaporkan berbanding 1,303 kes pada tahun 2023 sekaligus menunjukkan berlakunya iaitu penurunan sebanyak 2.3 peratus.

“Pada masa yang sama, sebanyak 125 kes kematian akibat tibi turut dilaporkan sepanjang 2024 berbanding 156 kes pada tahun sebelumnya.

“Ini secara tidak langsung mencerminkan impak berterusan hasil intervensi kesihatan awam walaupun kita masih berdepan dengan cabaran besar dalam usaha untuk menghapuskan tibi sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN