PORT DICKSON: Seorang wanita maut dilanggar lori tangki selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dalam kejadian di Kilometer 26, Jalan Lukut-Sepang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah lori tangki minyak jenis Volvo.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan kereta dinaiki mangsa terbuka secara tiba-tiba sewaktu melalui selekoh.
Katanya, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan penumpang belakang kereta tercampak keluar ke jalan bertentangan dan dilanggar oleh lori tangki yang datang dari arah berlawanan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun dan anaknya berusia lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Maslan lagi, pemandu lori tangki turut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, ujian saringan urin terhadap pemandu kereta menunjukkan keputusan negatif dadah dan rakaman video kamera papan pemuka dari lori tangki telah diperoleh untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Buat masa ini, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN