Wajib papar harga ubat lindungi hak pengguna - CAP

Wajib papar harga ubat langkah besar lindungi hak pengguna – CAP

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penguatkuasaan undang-undang baharu yang mewajibkan semua kemudahan kesihatan swasta dan farmasi komuniti di Malaysia memaparkan harga ubat secara jelas dilihat sebagai satu langkah penting demi ketelusan dan hak pengguna.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),  Mohideen Abdul Kader berkata, penguatkuasaan ini memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan termaklum, membandingkan harga dan mengelakkan caj yang tidak munasabah.

“Langkah ini disifatkan sebagai titik tolak kepada pembentukan sistem kesihatan yang lebih adil, telus dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia kerana ubat adalah barangan penting dalam kehidupan seharian.

“Dengan kadar inflasi perubatan negara yang kini mencecah 15 peratus, maka, adalah sangat penting untuk rakyat mengetahui harga ubat secara terbuka,” katanya di sini, hari ini.

Selain CAP, langkah memaparkan harga ubat turut disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna lain termasuk Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPK).

Peraturan baharu yang dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 itu diwujudkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang meliputi semua jenis ubat untuk kegunaan manusia, termasuk ubat preskripsi, bukan preskripsi, ubat tradisional serta suplemen kesihatan.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, undang-undang berkenaan sebenarnya bukan satu bentuk kawalan harga, tetapi merupakan mekanisme ketelusan harga bagi melindungi pengguna daripada amalan harga tidak beretika, terutama dalam sektor swasta.

“Maklumat dalam sistem penjagaan kesihatan menjadikan pesakit sering tidak tahu harga sebenar ubat yang mereka terima, menyebabkan wujudnya variasi harga yang besar antara fasiliti.

“Kalau diikutkan, cadangan awal KKM (Kementerian Kesihatan) sebelum ini adalah untuk memperkenalkan kawalan harga ubat preskripsi sumber tunggal, tetapi, terpaksa digugurkan selepas menerima tentangan daripada industri dan beberapa badan profesional,” ujar beliau.

Tambah Mohideen, isu paparan harga juga tidak patut dikaitkan dengan pendapatan doktor atau kemampanan klinik, kerana ia hanya menyentuh hak pengguna untuk mengetahui harga ubat yang dibeli, bukan yuran profesional perubatan.

“Pendapatan doktor adalah berdasarkan kepakaran, kualiti perkhidmatan dan yuran konsultasi, bukannya melalui keuntungan tersembunyi daripada penjualan ubat,”katanya yang memaklumkan, paparan harga adalah langkah minimum yang perlu dilakukan kerajaan untuk memastikan perdagangan beretika dan melindungi pengguna. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya