LANGKAWI: Syarikat teknologi tempatan, Velum Labs tampil memperkenalkan inovasi baharu dalam bidang keselamatan dan pertahanan yang diperkasa dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizman Merican berkata, Velum Labs mempunyai keupayaan untuk menyokong keperluan keselamatan negara.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga mempunyai kemampuan untuk mengeskport solusi-solusi atau teknologi yang dibangunkan melalui tenaga tempatan untuk dipasarkan kepada pasaran antarabangsa.
“Pertumbuhan ini adalah hasil daripada bakat digital tempatan yang semakin berkembang dan pelaburan berterusan dalam teknologi AI.
Kita harus memanfaatkan AI sebagai teras dalam menangani ancaman keselamatan masa kini dan masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Secured Technologies (SST), Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, gabungan teknologi AI oleh SST dan inovasi Velum Labs mewujudkan keupayaan pertahanan menyeluruh untuk Malaysia.
“Salah satu keunikan utama teknologi AI oleh Velum Labs dan SST ialah penggunaan algoritma canggih yang dilatih secara tempatan menggunakan set data kebangsaan yang dienkrips, bagi memastikan semua maklumat sensitif kekal dalam persekitaran kendalian yang selamat.
“Pendekatan berasaskan kedaulatan ini memperkukuh kawalan nasional, ketelusan dan kepercayaan, serta memberikan kelebihan strategik kepada Malaysia dalam melindungi infrastruktur digital kritikal negara,” jelasnya.
Tambahnya, inisiatif tersebut juga mencerminkan hala tuju pertumbuhan strategik bagi kedua-kedua syarikat, yang kini telah menembusi pasaran tempatan dengan minat yang semakin meningkat dari Eropah.
“Dengan ancaman serantau yang semakin kompleks, Velum Labs dan SST merancang untuk memperluas peluang kerjasama di peringkat ASEAN melalui teknologi AI yang direka khusus bagi keselamatan dalam negeri, perlindungan sempadan, dan operasi pelbagai domain,” jelasnya. – UTUSAN