LANGKAWI: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkukuh peranannya dalam ekosistem pertahanan negara apabila memeterai lima perjanjian sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Lima kerjasama bersama rakan industri tempatan dan antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan agenda strategik UPNM30 yang sejajar dengan teras utamanya iaitu Kesarjanaan dan Pusat Kecemerlangan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan perjanjian itu antara UPNM yang diwakili Naib Canselornya, Datuk Arman Rumaizi Ahmad dengan Prisma Khas; Weststar Aviation Services; AIROD; Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan KNDS France.
Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Prisma Khas bernilai RM180,000 akan melibatkan pelaksanaan projek penyelidikan bertajuk AI-Driven Statistical Insights and Analysis Using Machine Learning for Effective Digital Forensics Evidence Management selama dua tahun.
Penyelidikan itu bertujuan menilai kecekapan dan penggunaan jalur lebar sistem Forensic Evidence Management Systems (FEMS), di samping menjalankan analisis statistik menggunakan teknologi pembelajaran mesin (machine learning).
Projek ini berpotensi memperkukuh kepakaran UPNM dalam teknologi digital forensik dan membuka peluang pengkomersialan sistem kepada agensi penguatkuasaan undang-undang serta pihak berkepentingan lain
Kerjasama dua tahun bersama Weststar Aviation Services pula memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam latihan penerbangan, pensijilan serta sistem berkaitan.
Inisiatif berkenaan akan melibatkan pembangunan modul latihan berdasarkan piawaian industri dan penyediaan sistem pensijilan yang komprehensif.
Bagi MoU dengan AIROD selama tiga tahun, UPNM mahu memberi tumpuan kepada pembangunan sistem Aircraft Structural Integrity (ASI) termasuk aspek ketahanan dan analisis struktur pesawat.
Kolaborasi ini turut melibatkan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam ujian ketahanan, analisis tekanan dan penilaian beban pesawat.
Melalui perjanjian itu, ia akan turut meliputi penyediaan tenaga pakar, kemudahan makmal dan peralatan teknikal yang menyokong pelaksanaan projek bagi memperkukuh daya saing UPNM dalam teknologi aeroangkasa yang berimpak tinggi.
UPNM turut menandatangani MoU selama lima tahun bersama STRIDE, merangkumi penganjuran penyelidikan, syarahan dan persidangan dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Perjanjian Kerahsiaan (NDA) selama lima tahun antara UPNM bersama KNDS pula menyaksikan syarikat pertahanan berprestij Perancis itu membuka peluang kepada UPNM meneroka kolaborasi dalam pembangunan industri pertahanan khususnya dalam sistem persenjataan seperti Towed Light Gun. – UTUSAN