LANGKAWI: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memeterai Surat Niat (LoI) dengan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua bagi membangunkan prototaip untuk rondaan dan pengawasan di perairan negara.
Ketua program pembangunan prototaip tersebut, Mejar (B) Prof. Madya, Ir. Dr. Razali Abidin berkata, kedua-dua institusi itu berkerjasama untuk membangunkan dan mereka prototaip Kenderaan Hover Wing-In-Ground (HWIG).
“HWIG ini akan dilengkapi Remote-Controlled Weapon System (RCWS) yang menjadi inisiatif penting dalam memperkasa sistem keselamatan dan keupayaan kawalan pantai Malaysia.
“Projek ini menyasarkan pembangunan platform mobiliti maritim berkelajuan tinggi dan berprofil rendah radar,” katanya selepas majlis pertukaran dokumen sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), di sini hari ini.
Menurutnya, HWIG itu juga dilengkapi sistem persenjataan yang dikawal secara jarak jauh yang dapat memberikan tindak balas pantas di kawasan strategik perairan negara.
Tambahnya, hasil daripada kerjasama itu membuktikan bahawa sinergi antara institusi akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu melahirkan solusi teknologi berimpak tinggi yang menyumbang secara langsung kepada pemerkasaan keselamatan negara.
“Kerjasama ini membuka ruang kepada perkongsian sumber manusia dan kepakaran, selain merangsang pemindahan teknologi dan inovasi dari makmal ke lapangan sebenar,” ujarnya.
Pada majlis berkenaan, kedua-dua institusi pendidikan itu diwakili oleh Naib Canselor UPNM, Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Pengarah IKTBN Dusun Tua, Shamsuri Arif dan disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Dalam pada itu, Mustapha turut memberitahu, ini adalah kali pertama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diberikan peluang untuk menyertai acara ini dengan 13 produk KPT dipamerkan yang melibatkan sembilan universiti awam dan satu politeknik. – UTUSAN