'UMNO tubuh Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi tahun depan'

‘UMNO tubuh Institut Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi tahun depan’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : UMNO dijangka menubuhkan atau mengaktifkan semula sebuah pusat penyelidikan politik dan sejarah tahun depan bagi mengenang jasa Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pusat penyelidikan itu akan dikenali dengan nama baharu iaitu Institut Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Unit (di bawah pusat) penyelidikan itu sudah ada dan kita akan perbesarkan, insya-Allah. Supaya ia boleh dijadikan bahan rujukan (politik) oleh para penyelidik dan pengkaji sejarah.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan merayakan sambutan ulang tahun UMNO yang ke-80 dan kita akan isytiharkan pelancaran ini (institut tersebut),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan MRSM untuk mengadakan seminar pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh sebulan ini.

Katanya, seminar itu bertujuan membolehkan para intelektual, sejarawan serta ahli profesional khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO ‘mencungkil’ fikrah atau pemikiran Tun Abdullah ketika hayatnya iaitu ketika berkhidmat dalam kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuk semasa Allahyarham bermula daripada sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), ketua pengarah jabatan, timbalan menteri dan menteri sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelima pada 2003. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN