BAGAN DATUK: UMNO tetap berjuang untuk mendapatkan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, memperjuangkan nasib Najib yang dianiaya dengan sistem keadilan yang tidak memihak kepada bekas Presiden UMNO itu merupakan tunjang perjuangan parti.
Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan beliau tidak memperjuangkan nasib Najib yang kini dipenjara atas tuduhan rasuah.
“Kita (UMNO) akan diuji Allah. Antara yang paling besar apabila bekas Presiden masih lagi dalam penjara, ini turut menjadi tunjang perjuangan kita.
“Selasa lalu saya dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Naib Presiden UMNO) dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO) bertemu ‘bossku’ (Najib) di Kajang.
“Kalau ada yang mengatakan UMNO dan saya secara peribadi tidak mahu memperjuangkan nasib Najib yang dianiaya dengan sistem keadilan yang tidak memihak kepada beliau, maka saksi hidup ialah rakan-rakan dari (UMNO) Selangor yang diketuai Datuk Megat, kita tidak pernah akan meninggalkan Datuk Najib keseorangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Megat Zulkarnain yang juga Pengerusi UMNO Selangor.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO Bagan Datuk menanam keazaman untuk menjadi dominan semula dalam PRU-16 dengan memenangi kerusi Parlimen terbanyak berbanding lain-lain parti.
Menurutnya, tanda-tanda ke arah itu sudah ada dan terbukti dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang telah dilalui yang dimenangi oleh calon UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, malah dalam suasana sekarang, UMNO menjadi tunjang ke arah pembentukan kerajaan Perpaduan hari ini.
“Kita jadi kerajaan walaupun jumlah (kerusi) kita tak banyak kerana Allah terus sayang kepada UMNO untuk jadi kerajaan.
“Walaupun kita menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini tapi saya tak mahu mengatakan kita ‘melukut di tepi gantang’ tapi Allah yang menghendaki.
“Walaupun kita hanya ada 26 kerusi daripada UMNO dan empat kerusi daripada rakan-rakan, kita ada tujuh menteri kabinet yang mewakili UMNO dan enam timbalan menteri,” katanya. – UTUSAN