PETALING JAYA: “UMNO bukan besar mana sangat pun. Hanya ada kuasa sebab berpaut bawah ihsan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar Ibrahim sahaja”.
Demikian respons Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadap Veteran UMNO yang mencadangkan parti itu dibubarkan.
Kata beliau, politik era baharu menyaksikan pelbagai parti membentuk gabungan dan kemudian membentuk kerajaan menerusi beberapa gabungan politik.
“Itu realiti hari ni yang mungkin tak disedari oleh mereka yang tersangkut dengan mimpi zaman dulu yang dah tak relevan lagi.
“Kalau parti-parti kecil mungkin sesuai pertimbang untuk bubar. Tapi cadangan bubar dah tak relevan untuk parti besar macam Bersatu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyarankan Bersatu agar membubarkan parti mereka dan kembali semula kepada UMNO.
Malah, menurutnya, Pas sendiri berusaha untuk meyakinkan Anwar supaya parti itu diterima dalam Kerajaan Perpaduan dan perkara itu sudah berlaku beberapa kali.
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, bilangan ahli Parlimen daripada Bersatu akan lebih besar dari UMNO sekiranya tiada proses ‘lompat dan lapar peruntukan’ daripada kerajaan.
“Pemimpin UMNO yang pentingkan takhta dan jawatan mungkin selesa duduk dengan Anwar Ibrahim.
“Tapi, kalau ada pemimpin UMNO yang masih istiqamah dengan matlamat perjuangan, mereka kena tanya diri sendiri adakah perjuangan itu akan lebih subur jika bersama Perikatan Nasional,” katanya. – UTUSAN