BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menganjurkan Hari Kerjaya UKM 2025 pada Selasa dan Rabu ini bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), kampus induknya di Bangi, Selangor.
Program selama dua hari itu berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, dengan penglibatan lebih 40 syarikat yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri kepada pelajar serta graduan.
Antara pengisian menarik termasuk ceramah kerjaya, semakan CV dan resume secara percuma, reruai pameran syarikat, peluang mengumpul merit i-STAR (untuk pelajar UKM), serta pemberian ais krim percuma kepada pengunjung.
Pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti alat elektronik, baucar tunai dan barangan eksklusif.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama UKM-Karier, Naratif Baharu UKM, Pusat Pembangunan Karier dan Talentbank yang aktif dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan di peringkat nasional. – UTUSAN