PUTRAJAYA: Seorang lagi bekas ketua pegawai ekskutif (CEO) yang disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta dirahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 5 Mei ini terhadap suspek dikeluarkan Pendaftar Eleanor Mako Timothy selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek seorang lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira pukul 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi membuat tuntutan berjumlah kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam projek pembinaan lebuh raya bernilai kira-kira RM1.30 billion,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM2009.
Beliau berkata empat individu yang ditahan reman pada Rabu lalu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. – UTUSAN