Tunggu kepulangan saya di Malaysia - Yassin Senario

Tunggu kepulangan saya di Malaysia – Yassin Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Yassin Senario mengesahkan dirinya bakal pulang ke tanah air sebelum sambutan Aidiladha.

Menurut Yassin, dia masih lagi berada di Jeddah, Arab Saudi namun belum dapat berkongsi lagi tarikh penerbangannya yang dijangka sebelum 6 Jun depan.

“Tunggu kepulangan saya di Malaysia. Insya-Allah, sekejap sahaja lagi saya balik,” katanya.

Yassin berkongsi perkembangan terkininya itu menerusi sebuah sesi siaran langsung di TikTok di bawah akaun Rifkarl yang merupakan rakan baiknya.

Difahamkan, isterinya Farah Waheeda Maharidan, 46, bersama anak mereka turut berada di Jeddah bagi mengiringi kepulangannya ke tanah air.

Dalam masa sama, Yassin turut menafikan dirinya menghilangkan diri, sebaliknya sedang bercuti selepas sekian lama berkerja.

“Bukan menghilang, saya bercuti,” ujarnya ringkas.

Pada sesi yang berlangsung selama setengah jam itu, Yassin menjawab pelbagai soalan daripada peminat termasuk keadaannya sepanjang di sana.

Bagaimanapun, dia tidak memberikan sebarang respons terhadap pertanyaan sama ada sudah dibebaskan atau tidak.

Sementara itu, pelawak tersebut turut mengesahkan dirinya bakal muncul dalam pementasan teater Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku @ Senariounion di Panggung Bangsawan Melaka (PBM), Melaka pada 28 Jun ini.

“Ya saya akan sertai Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku @Senariounion. Jadi jangan lupa sokong dengan mendapatkan tiket segera,” ujarnya.

Sebelum ini, pelawak itu dilaporkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki bahan terlarang iaitu dadah jenis ganja.

Hukuman berkenaan dijatuhkan pada November tahun lalu dan dijangka dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN