Tun Ramli mahu i-Sejahtera diteruskan dengan pendekatan bersasar

Tun Ramli mahu i-Sejahtera diteruskan dengan pendekatan bersasar

TUN RAMLI Ngah Talib (tengah) beramah mesra dengan pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang selepas merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Bangunan DUN Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berpandangan, program i-Sejahtera yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri wajar diteruskan dengan pendekatan lebih bersasar dan inklusif bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, pada tahun 2024 sahaja, sebanyak RM50.54 juta telah disalurkan menerusi program kebajikan itu yang memberi manfaat kepada lebih 280,633 penerima tanpa mengira usia, status atau latar belakang.

“Jadi, seiring dengan keperluan semasa, saya berpandangan bahawa program i-Sejahtera ini wajar diteruskan dengan pendekatan yang lebih bersasar dan inklusif. 

“Keutamaan perlu diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping memperkenalkan alternatif pemberdayaan yang lebih mampan seperti peluang latihan kemahiran dan bantuan mikro. 

“Pendekatan ini bukan sekadar meringankan beban malah membuka ruang untuk rakyat berdikari dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Bangunan DUN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedang meneliti semula pelaksanaan program bantuan kebajikan sosial i-Sejahtera susulan peningkatan perbelanjaan setiap tahun serta keperluan untuk menyesuaikannya dengan situasi semasa.

Dalam pada itu, Ramli berkata, Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSNP2040) kini sedang giat dijalankan bagi memastikan dasar pembangunan negeri kekal mampan dan relevan.

“Kajian itu bukan sekadar untuk menyemak semula dasar sedia ada dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030, malah  bertujuan mengukuhkannya agar selaras dengan aspirasi Penang2030. 

“Langkah ini penting dalam memastikan pembangunan negeri kekal mampan, responsif dan inklusif, sejajar dengan perubahan demografi serta perkembangan semasa,”katanya.

Selain itu, Ramli yang baharu sahaja mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri 1 Mei lalu turut menyatakan komitmennya untuk turun padang bagi mendengar sendiri hasrat dan denyut nadi rakyat.

“Hanya dengan mendengar secara jujur dan terbuka, kita dapat memastikan dasar yang dirangka benar-benar berpaksikan realiti kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, dua rang undang-undang baharu, iaitu Rang Undang-Undang Lembaga Sumber Air Pulau Pinang 2025 dan Rang Undang-Undang Sumber Air Pulau Pinang 2025, akan dibentangkan dalam sidang dewan kali ini.

“Rang undang-undang ini bertujuan memperkasakan pengurusan sumber air negeri melalui penubuhan Lembaga Sumber Air Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN