Tuisyen sukarela anak yatim jadi saham akhirat cikgu Ngah

Tuisyen sukarela anak yatim jadi saham akhirat cikgu Ngah

NGAH Bidin mengajar tuisyen secara sukarela di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Walaupun sudah pencen enam tahun lalu, seorang guru masih setia berbakti mencurahkan ilmu dengan mengajar tuisyen secara sukarela di Asrama Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payung di sini pada setiap hujung minggu.

Ngah Bidin, 66, berkata, jiwa sebagai pendidik yang masih menebal dalam diri membuatkannya terpanggil melakukan khidmat bakti, sekali gus mengharapkan ia mampu menjadi saham akhirat.

Katanya yang merupakan bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), idea me­ngajar secara sukarela itu datang secara spontan awal tahun ini.

“Saya berjumpa pengurusan Asrama Anak Yatim Darul Falah untuk menawarkan diri dan syu­kur semuanya berjalan lancar. Setiap pagi Jumaat saya ke asrama tersebut yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumah.

“Saya mengajar tuisyen percuma bagi subjek matematik tingkatan satu hingga tiga melibatkan hampir 50 anak yatim di asrama berkenaan. Kelas diadakan antara sejam hingga satu jam setengah bermula sekitar pukul 8.45 pagi.

“Bukan sekadar perkongsian ilmu semata-mata, peluang dapat berdampingan dengan anak-anak yatim ini memberi pengalaman serta ketenangan tersendiri bagi diri saya,” katanya yang tinggal di Kampung Rawai kepada Utusan Malaysia.

Ngah yang juga Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Marang turut berkongsi ilmu teori dan praktikal kemahiran asas komunikasi, selain ce­ramah motivasi kepada pelajar serta ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.

“Sepanjang berkhidmat bermula 1982 sehingga 2019, cuma lapan tahun saya mengajar di sekolah selebihnya bertugas di JPNT. Pengalaman yang saya ada walaupun mungkin tidak seberapa ingin dikongsi terutama kepada pelajar serta ibu bapa.

“Saya tidak kisah walaupun perlu korbankan masa, tenaga serta wang ringgit kerana ke­utamaan sekarang adalah ingin memberikan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat, termasuklah pembinaan mo­dal insan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN