LANGKAWI: Trak milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa petugas demonstrasi segmen maritim Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) hilang kawalan dan terbabas, di sini.
Pusat media maritim berkata, trak tiga tan itu hilang kawalan dalam perjalanan balik selepas selesai mengerjakan Solat Jumaat di Masjid Al Ehsan Temonyong dan mahu menuju ke Resorts World Langkawi.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa yang dialami di dalam insiden tersebut dan kesemua 25 petugas terlibat di bawa ke bilik perubatan segmen maritim untuk menerima rawatan awal.
“Manakala, dua petugas dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di kaki.
“TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Hadapan Bilik Gerakan LIMA, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai insiden tersebut pada pukul 3 petang tadi.
“Komander operasi melaporkan sebaik tiba di lokasi kemalangan jalan raya melibatkan lima buah kenderaan, sebuah trak TLDM, sebuah Toyota Avanza, dua buah Perodua Axia dan sebuah Perodua Viva.
“Enam orang mangsa didapati cedera dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, seorang mangsa lelaki berusia 31 tahun difahamkan cedera di bahagian tengkuk, manakala seorang mangsa lelaki, 30 tahun dirawat di zon kuning.
“Empat lagi mangsa hanya mengalami cedera ringan,” katanya.-UTUSAN