Tradisi ikan bilis kampung tidak pernah pupus - Utusan Malaysia

Tradisi ikan bilis kampung tidak pernah pupus

INDUSTRI ikan bilis kering di Kampung Benting Lintang turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat termasuk golongan warga emas di bengkel pemprosesan.-MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pengusaha produk ikan bilis kering di Kampung Benting Lintang di sini, diibaratkan ‘menongkah arus’ dalam menghadapi kemodenan apabila masih mengekalkan proses pembuatannya secara manual dan bergantung kepada sumber alam. 

Bagi mereka, kaedah itu mampu mengekalkan kualiti produk dan tahan lebih lama selain memastikan keunikan turun menurun terus dipertahan.

Mereka mendapatkan bekalan ikan bilis daripada nelayan tempatan sebelum dicuci, direbus, dijemur dan diasingkan mengikut gred seterusnya dibungkus serta dipasarkan kepada orang ramai.

Lazimnya, tempoh sehari diperlukan untuk memproses ikan bilis dari awal hingga kering dan siap untuk dibungkus, sekali gus mengekalkan kualitinya.

Proses dan pembuatan pro­duk hasil laut itu di lokasi berkenaan bermula sejak 40 tahun lalu dan masih ‘teguh berdiri’ sebagai nadi penduduk kampung itu. Pengeluarannya meningkat bermula Julai hingga November kerana bekalan ikan bilis segar banyak dalam tempoh berkenaan.

KAYU API, CAHAYA MATAHARI

Seorang pengusaha, Nora Idayu Ab. Rahman, 33, berkata, terdapat kira-kira 10 pengusaha produk bilis kering di kawasan tersebut dan rata-ratanya adalah generasi kedua atau ketiga yang mewarisi perniagaan tersebut. 

Walaupun tiada data rasmi, jumlah pengusaha itu dipercayai menjadikan Kampung Benting Lintang sebagai pusat perusahaan memproses makanan tersebut terbesar dan utama di negeri ini, malah di Pantai Timur. 

Ikan bilis yang digunakan ditangkap di perairan Besut oleh nelayan tempatan sebelum dibekalkan kepada pengusaha bilis kering.

“Semua pengusaha masih mengekalkan cara lama sejak turun temurun iaitu bermula daripada proses mencuci, merebus dan menjemur ikan bilis. 

“Semasa proses merebus umpamanya, kami menggunakan kayu jenis pokok getah yang dibeli daripada pembekal setempat sebagai kayu api untuk memasak air,” katanya ketika ditemui di Kampung Benting Lintang.

Menurut Nora Idayu, penggunaan kayu api masih relevan dan lebih jimat serta tahan lama meskipun ada sesetengah kawasan telah menggunakan dapur gas untuk proses merebus ikan bilis. 

Katanya, bagi proses pengeringan ikan bilis, mereka menggunakan 100 peratus cahaya matahari dan perlu bergantung sepenuhnya pada ramalan cuaca sebelum menjalankan proses pengeringan. 

“Kebiasaannya ikan bilis dijemur terus selepas direbus bagi menjaga kualiti yang mana kita menggunakan cahaya matahari sebagai sumber tenaga utama. Jika hari mendung atau hujan, ikan bilis tidak dijemur. 

“Ikan bilis yang dijemur secara semula jadi ini lebih tahan lama dan kekeringannya adalah serata berbanding menggunakan mesin yang memerlukan penggunaan suhu yang betul bagi mengelakkan bilis rosak atau terlebih kering,” katanya.

SUMBER PENDAPATAN PENDUDUK 

Bukan sahaja pengusaha, industri ikan bilis kering di  Kampung Benting Lintang  turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat termasuk golongan warga emas di bengkel pemprosesan.

Mereka yang diupah bekerja berusia antara 30-an hingga 70-an mengikut kudrat masing-masing dan pembahagian kerja. 

“Golongan warga emas memilih untuk melakukan pekerjaan ini bagi mengisi masa lapang sekali gus mencari duit tambahan. Biasanya kerja-kerja memproses ikan bilis dilakukan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang. 

“Selepas dikeringkan, bilis ini dihantar kepada penduduk kampung bagi proses ‘membelah’ bilis,” kata seorang lagi pengusaha, Rasyidah Mamat, 50.

Bagi proses membelah bilis penduduk kampung dibayar upah sebanyak RM2 hingga RM3 bagi satu kilogram. 

Kebanyakan mereka yang mengambil upah membelah bilis adalah suri rumah dan buruh yang mencari sumber pendapatan sampingan. 

Setelah itu, ikan bilis siap diproses dibungkus oleh pekerja di bengkel untuk pemasaran dan penjualan tempatan dan dihantar ke luar negeri. 

LOKASI TARIKAN PELANCONGAN 

Sementara itu, seorang penduduk, Che Raini Sulaiman, 60, berkata, bengkel-bengkel memproses ikan bilis turut menjadi tumpuan pelancong dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negeri. 

Mereka yang berkunjung ke lokasi itu teruja untuk mengetahui dan melihat bagaimana proses pembuatan bilis daripada awal dilakukan sekali gus membuka mata golongan generasi baharu tentang kepentingan memelihara tradisi yang diwarisi oleh nenek moyang terdahulu agar tidak pupus ditelan arus kemodenan. 

“Dengan kedatangan orang ramai atau pelancong dari luar dapat memperkenalkan Pantai Benting Lintang dan secara tidak langsung dapat melonjakkan sosio ekonomi di kawasan terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×