KUALA LUMPUR: “Tolong bawa pulang adik saya, saya mahu dia pulang dengan selamat. Kami sekeluarga menantikan kehadirannya sehingga ke hari ini.”
Demikian luahan seorang wanita dikenali sebagai Meena, 30, yang merayu agar adik perempuannya segera diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Phnom Penh, Kemboja.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Caca, 22, didakwa dipaksa bekerja dalam kegiatan penipuan dalam talian sejak dua bulan lalu.
Menurut Meena, adiknya bersama seorang rakan lelaki yang juga berusia 22 tahun telah diajak oleh seorang rakan sekolah untuk bercuti ke Phnom Penh pada awal Februari lalu, namun tidak pulang sehingga kini.
Difahamkan, Caca sebelum ini menetap dan bekerja sebagai jurubaiki telefon di Klang, Selangor, dipercayai terpedaya dengan tawaran kononnya untuk melancong ke luar negara.
“Selepas tiga hari tiba di Kemboja, adik saya menghubungi kami dan mendakwa dia dipaksa bekerja sebagai scammer di sebuah lokasi berhampiran hospital di Phnom Penh.
“Setiap hari saya berhubung dengannya. Dia hanya cakap mahu balik, dia lapar dan penat kerana dipaksa bekerja selama 24 jam tanpa henti.
“Saya dan adik terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Bajau setiap kali dia menelefon supaya perbualan kami tidak difahami oleh pihak yang mengawalnya di sana,” katanya dalam sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Meena berkata, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 24 April lalu selepas menerima panggilan daripada adiknya yang merayu untuk diselamatkan.
“Kami sekeluarga sangat risau akan keselamatan adik kerana dia berada dalam keadaan tertekan. Bapa kami pula hanya mampu menangis setiap kali mengenangkan nasib adik yang belum diketahui sehingga kini.
“Malah, sindiket turut mengugut saya supaya menarik semula laporan polis yang dibuat, namun saya tetap bertegas. Saya hanya mahu adik saya pulang dengan selamat,” katanya.
Tambahnya, sindiket terbabit mendakwa Caca mempunyai hutang dan tidak dibenarkan pulang selagi tidak menjelaskannya, walaupun perjanjian hutang tersebut didakwa telah ditandatangani secara paksa.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, suspek wanita yang membawa mangsa ke Kemboja dipercayai pernah ditahan pihak berkuasa di Macau, China atas kesalahan bekerja sebagai scammer.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang kini terperangkap di Phnom Penh dan dipaksa bekerja sebagai scammer oleh sindiket pemerdagangan manusia.
“Kita harap sindiket terbabit membebaskan kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di sana kerana kebanyakan mereka dipaksa bekerja, bukan secara sukarela.
“Mereka turut dipaksa menandatangani perjanjian yang tidak dimahukan dan ini jelas menunjukkan bentuk pemerdagangan manusia secara terang-terangan,” katanya.
Beliau menegaskan, MHO akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan tiada lagi rakyat negara ini menjadi mangsa sindiket tidak berperikemanusiaan itu. – UTUSAN