Tokoh sastera, Mana Sikana meninggal dunia

Tokoh sastera, Mana Sikana meninggal dunia

MANA SIKANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tokoh kesusasteraan Melayu moden, Abdul Rahman Hanafiah atau nama penanya, Mana Sikana, meninggal dunia pada usia 80 tahun, pagi ini.

Menerusi satu hantaran di Facebook oleh menantunya, Adam Selamat Musa, beliau memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Bapa mentua saya, Abdul Rahman bin Napiah (Mana Sikana), baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 pagi tadi.

“Jenazah masih berada di hospital. Mohon doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan dikurniakan syurga tanpa hisab. Amin,” katanya.

Abdul Rahman yang dilahirkan pada 9 Oktober 1945 di Bagan Serai, Perak merupakan penulis prolifik sastera tanah air.

Beliau memulakan pengajian tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1974 hingga 1978 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana (1980–1981) dan kemudiannya menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) pada tahun 1991.

Allahyarham yang berketurunan Banjar itu merupakan pengarang kedua dari negeri Perak selepas Suhaimi Muhammad yang diangkat sebagai Sasterawan Perak.

Dalam sepanjang kerjayanya, Allahyarham menghasilkan lebih 100 buku meliputi karya kreatif dan ilmiah selain menjadi pengkritik dan pengkaji sastera Malaysia.

Antara cerpen penting beliau termasuk Jejak yang Hilang (1984) dan Nusia (2002), manakala bidang drama, beliau terkenal dengan karya seperti Tok Awang (1984), Hikmah (1998), Hikmah Bunuh Apa-apa (2014) dan Di Hujung Taming Sari (2020).

Sementara itu, novel-novel beliau seperti Ronjang (1984), Klimak (1989) dan Syajar (1996) turut menjadi antara karya penting dalam sastera moden negara.

Beliau juga dikenali menerusi buku-buku rujukan seperti Teras Sastera Melayu Moden (1982), Teori Sastera Moden (1990), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998) serta Teori dan Kritikan Sastera (2002). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN