Titah Adendum: Shafee dakwa hantar tujuh surat

Titah Adendum: Shafee dakwa hantar tujuh surat

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, sekurang-kurangnya tujuh surat dihantar berhubung kewujudan Titah Adendum supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki tahanan di rumah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak terbabit.

Pihak terbabit dimaksudkan adalah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM dan Kerajaan Malaysia.

Muhammad Shafee berkata, surat itu turut dihantar kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang ketika itu ialah Peguam Negara, namun tiada balasan bagi mengakui penerimaannya.

“Sekurang-kurangnya tujuh surat yang dikemukakan kepada individu atau institusi bagi memohon pengesahan Titah Adendum, tidak dijawab langsung atau dimaklumkan bahawa surat itu diterima.

“Pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap dokumen tambahan itu harus menjawab surat berkenaan namun mereka hanya berdiam diri kerana dokumen itu sememangnya wujud.

“Katalah ia tidak wujud, bukankah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab surat kami dan mengatakan bahawa dokumen tambahan ini tidak ada, apa salahnya jika mereka memberitahu kami begitu, mungkin kami akan berhenti setakat itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Ahmad Terrirudin dikemukakan kerana beliau tidak memberikan arahan yang betul kepada pegawainya berhubung kewujudan Titah Adendum.

“Semasa prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Ahmad Terrirudin gagal memberikan arahan yang betul kepada pegawainya iaitu Peguam Kanan Persekutuan dan mereka tidak pernah menafikan kewujudan titah itu, sebaliknya menutup perkara itu dengan menyatakan kewujudannya tidak dapat dipastikan.

“Semakan kehakiman bukan satu prosiding biasa kerana ia ditujukan kepada pegawai atau badan kerajaan. Individu atau badan kerajaan yang dinamakan dalam semakan kehakiman, sepatutnya menjelaskan secara jujur maklumat berkaitan dokumen yang disimpannya.

“Mereka tidak boleh bermain hide and seek (sorok-sorok) dan tidak boleh katakan ‘cuba teka sama ada ia wujud atau tidak’, sebaliknya mereka wajib menjelaskan maklumat dan dokumen itu,” ujarnya.

Pada 21 Mei lalu, Najib memfailkan permohonan memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin kerana menghina mahkamah berhubung Titah Adendum.

Sejurus pemfailan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan tidak teragak-agak untuk memohon supaya komital yang difailkan terhadap Ahmad Terrirudin diketepikan.

Isu yang dibangkitkan dalam permohonan itu kini adalah subjek rayuan yang belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini berkaitan permohonan semakan kehakiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN