BATU PAHAT: Keputusan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kedua-dua parti berada dalam gabungan sama dan isu tersebut perlu ditangani secara bijak demi kestabilan politik negara.
“Keputusan beliau satu kehilangan, tetapi tidak menjejaskan hubungan dengan PKR. Kerajaan ini perlu kekal hingga akhir penggal bagi memastikan pembangunan negara terus berjalan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani di Dewan Serbaguna Taman Melodi LP Kampung Parit Bilal di sini, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan hasrat dan niat untuk menyertai PKR.
Mengenai gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh agar Tengku Zafrul meletakkan jawatan dalam Kabinet, Johari berkata, ia hak Perdana Menteri kerana Tengku Zafrul merupakan senator dan tidak tertakluk kepada akta anti lompat parti.
“Tengku Zafrul tidak terikat dengan akta anti lompat parti kerana statusnya sebagai senator yang tidak terikat dengan akta berkenaan.
“Bagaimanapun, sehingga malam tadi, pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden masih belum menerima surat peletakkan jawatan yang dimaksudkan,” katanya. – UTUSAN