Tiga syarikat Belgium lawat tapak pelaburan di Perak - Utusan Malaysia

Tiga syarikat Belgium lawat tapak pelaburan di Perak

SAARANI Mohamad mendengar aduan rakyat pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Tiga syarikat dari Belgium dijadual melawat beberapa tapak pelaburan di Perak bulan depan, sebagai langkah awal untuk menilai dan merancang pelaburan mereka di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lawatan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi, khususnya di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Menurutnya, ketiga-tiga syarikat dari Belgium ialah Belgian Scrap Terminal (BST) yang mengendalikan pemisahan bahan kitar semula, Soenen Group Green Vessel Recycling yang pakar dalam pelupusan kapal secara lestari serta Steinberg Logistics International yang menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu.

“Lawatan tapak ini merupakan tindakan susulan yang penting bagi memuktamadkan komitmen pelaburan mereka,” katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan 2025 di Dewan Bandaran Kinta di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa pelabur sedia ada juga menunjukkan komitmen untuk memperluaskan operasi mereka di Perak, termasuk syarikat multinasional Saint-Gobain yang beroperasi di Taman Perindustrian Kanthan, Chemor.

Beliau berkata, syarikat itu bercadang menambah pelaburan sebanyak RM200 juta dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mencadangkan supaya syarikat itu memindahkannya operasi ke Silver Valley Technology Park (SVTP).

”Saya dimaklumkan oleh InvestPerak bahawa syarikat itu telah melawat SVTP bagi menilai kesesuaian lokasi tersebut untuk pelaburan baharu,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, syarikat Lhoist Group dari Belgium turut merancang untuk menambah pelaburan sebanyak RM250 juta.

Katanya, bagi menyokong perkembangan pelaburan tersebut, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bersetuju memperkenalkan laluan pantas (fast track) untuk semua proses berkaitan.

“Inisiatif ini selaras dengan pendekatan yang pernah diambil untuk pelabur lain seperti BYD, bagi mempercepatkan kelulusan dan pembangunan tapak.

“Saya dimaklumkan tapak telah pun dikenal pasti dan proses sedang menolak tapak telah dijalankan,” katanya.

Saarani berkata, satu lagi pelaburan strategik yang sedang diusahakan ialah penubuhan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC) di Sungkai.

“Projek NATC ini dikelolakan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan memerlukan kerjasama erat antara agensi persekutuan serta kerajaan negeri,” katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri menetapkan tempoh maksimum satu bulan untuk menyelesaikan isu berkaitan pelaburan yang melibatkan agensi negeri.

“Sekiranya isu berkaitan dengan agensi luar atau persekutuan, ia akan melalui proses rundingan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN