Tiga sindiket dadah tumpas, rampasan bernilai RM16 juta

Tiga sindiket dadah tumpas, rampasan bernilai RM16 juta

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam tiga operasi berbeza dengan nilai keseluruhan RM16.01 Juta ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur. - UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga sindiket pengedaran dadah tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM16.01 juta.

Serbuan berasingan bermula 29 April hingga 6 Mei lalu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur hasil risikan serta maklumat awam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sindiket pertama dikesan beroperasi di sekitar Ampang, dengan dua lelaki termasuk seorang warga Filipina diberkas dalam serbuan pada 29 April lalu.

“Pemeriksaan terhadap kereta dinaiki suspek menemukan 56 bungkusan syabu seberat 58.42 kilogram (kg). 

“Siasatan lanjut membawa kepada satu lagi kereta yang menyimpan 146.76 kg syabu, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 205 kg bernilai RM6.56 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menerima bekalan dari Kelantan sebelum disimpan dalam kenderaan dan diedarkan sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, sindiket ini dipercayai kali pertama beroperasi dan kedua-dua suspek direman 10 hari bermula 30 April hingga 9 Mei ini.

“Dalam serbuan kedua pada 5 Mei lalu, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama 1.86 gram syabu, sebelum membawa polis ke sebuah lot kedai di pusat beli-belah Jalan Imbi yang dijadikan stor dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 221 kg syabu dianggarkan bernilai RM7.07 juta. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Februari dan menyimpan dadah di lokasi tumpuan awam bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine direman enam hari hingga 11 Mei.

Jelasnya, serbuan ketiga dijalankan pada 6 Mei lalu membabitkan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 33 tahun yang ditahan di sebuah kondominium mewah di Taman Mastiara.

“Polis menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, pil dan serbuk ecstasy serta Erimin 5 dengan jumlah keseluruhan rampasan seberat lebih 17 kg bernilai RM2.38 juta.

“Turut disita wang tunai RM320,250 dan dua kenderaan. Sindiket ini dipercayai menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua rampasan dalam ketiga-tiga kes ini boleh menampung penggunaan seramai 3.2 juta penagih pada satu-satu masa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

“Kita juga sedang menjejaki rangkaian sindiket dan aset yang dimiliki suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pengedaran dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-2087222.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN