Tiga projek baharu di Hospital P. Pinang

Tiga projek baharu di Hospital P. Pinang

DANIEL Gooi Zi Sen (tengah) meninjau kemajuan projek Blok Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tiga projek pembangunan utama di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang melibatkan nilai keseluruhan RM758 juta berjalan lancar di pelbagai peringkat kemajuan.

Projek pertama iaitu pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak mencatatkan kemajuan tertinggi iaitu sebanyak 34.35 peratus diikuti oleh projek Blok Baharu Pusat Perkhidmatan Stem Sel (10.19 peratus) serta Blok Klinik Pakar dan Wad de­ngan tahap kemajuan sebanyak 3.33 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ketiga-tiga projek itu merupakan pelaburan strategik oleh kerajaan Persekutuan dalam menaik taraf kemudahan kesihatan awam di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan RMK11.

“Ia juga merupakan satu mercu tanda penting bagi jaringan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Mengulas lanjut mengenai projek pertama iaitu pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak, Daniel berkata, projek bernilai RM307 juta itu dijangka siap pada Januari 2026.

Katanya, reka bentuk serta binaan untuk projek itu dibuat secara tender terbuka yang meli­batkan pembinaan tempat letak kereta 12 tingkat serta bangunan hospital lapan tingkat dengan kapasiti 329 katil serta pelbagai perkhidmatan kesihatan lain.

Sementara itu, kata Daniel, projek Blok Baharu Pusat Perkhid­matan Stem Sel yang bernilai RM23 juta pula dijalankan secara konvensional di bawah kawal selia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka siap menjelang Mac 2027.

Jelas beliau, projek itu akan menaik taraf kemudahan rawatan transplantasi termasuk unit apheresis, makmal stem sel dan kemudahan sokongan lain.

“Bagi projek ketiga iaitu pembinaan Blok Klinik Pakar dan Wad bernilai RM428 juta yang merangkumi bangunan setinggi 14 tingkat dengan kemudahan klinik pakar dan wad berkapasiti 216 katil, ia dijangka siap pada Mei 2029.

“Untuk pengetahuan, ketiga-tiga projek ini bukan sahaja akan memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Pulau Pinang, malah membawa impak besar kepada peningkatan mutu rawatan kepada rak­yat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN