Tiga penjenayah curi kenderaan ditembak mati

Tiga penjenayah curi kenderaan ditembak mati

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menunjukkan barangan kes termasuk pistol yang berjaya dirampas dalam sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai terlibat dalam kes curi kenderaan untuk diseludup ke negara jiran dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah inap desa dekat Sik, Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pukul 2.30 pagi hasil maklumat risikan pasukan khas itu mengesan sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda yang aktif di empat negeri.

“Tiga suspek tersebut cuba melarikan diri ketika serbuan di Sik dan mereka tidak memberikan kerjasama malah melepaskan tembakan kepada anggota polis.

“Hasil berbalas tembakan, dua mati dan seorang lagi cuba melarikan diri sebelum dia melibas anggota polis dengan sebilah parang. Akhirnya suspek itu ditumpaskan juga manakala anggota kami cedera di dada,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek berkenaan yang berusia 35 hingga 37 tahun masing-masing mempunyai rekod curi kenderaan dan dadah.

“Polis masih mengesan saki baki suspek termasuk dalang sindiket itu yang dipercayai warga asing,” katanya.

Mohd. Shuhaily berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek berkenaan turut menemukan dua pucuk pistol serta peluru.

“Polis turut menemukan sebuah Honda CRV yang mempunyai rekod hilang di Petaling Jaya pada 26 April lepas. Hasil semakan sindiket itu terlibat dalam 73 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda termasuk 18 kes di Melaka.

“Susulan itu polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu cubaan bunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) kerana melepaskan tembakan,” katanya.

Katanya, polis turut berjaya menemukan semula dua Toyota Hilux yang dicuri dan diseludup ke sempadan melalui jalan tikus oleh sindiket itu serta menahan empat lagi suspek warga asing berusia 34 hingga 58 tahun yang berperanan sebagai penghantar kenderaan.

“Empat lelaki ini diberkas dengan kerjasama Unit Risikan Sempadan (URS) JSJ dan polis Thailand pada hari sama, pukul 3 petang. Kenderaan tersebut ditemukan di Songkhla.

“Kenderaan jenis pacuan empat roda dan pikap ini menjadi sasaran pencuri kerana ia mudah diseludup menggunakan jalan tikus di sempadan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya