KUALA KRAI: Tiga maut selepas kereta jenis Perodua MyVi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Sam, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 11.20 pagi itu, tiga mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki maut di lokasi selepas dipercayai mengalami kecederaan parah selain tersepit.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Idris Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.20 pagi dan terus bergegas ke lokasi.
“Kami tiba pada pukul 11.55 dan mendapati satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dengan bas ekspres.
“Pemeriksaan mendapati terdapat tiga mangsa yang terdiri dari dua wanita dan seorang lelaki telah tersepit dan dipercayai meninggal dunia. Bagaimanapun, pemandu bas tersebut mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, kesemua mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN