SETIU : Seorang lelaki didenda RM800 selepas didapati bersalah memindahkan lima ekor lembu menggunakan kenderaan pacuan empat roda bersama float kuda tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Permaisuri, dekat sini, Mac lalu.
Majistret Nurliyana Md. Zukri menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Azman Zakaria, 40, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya. Mahkamah turut mengarahkan hasil jualan haiwan terbabit berjumlah RM8,544 itu dilucutkan hak dan menjadi hasil kerajaan.
Nor Azman dituduh melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu Di Kampung Buluh, Permaisuri pada pukul 10.30 malam, 23 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut perenggan 4 (1) (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah Negeri Terengganu 2023, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM15,000 mengikut subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953.
Dalam kes berasingan dua lagi individu iaitu pemandu dan kelindan van masing-masing didenda RM800.
Muhammad Firdaus Aziz, 34, dan Alif Ikhwan Yusof, 24, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah memindahkan 24 ekor kambing menggunakan sebuah van tanpa kebenaran JPV.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 2 petang pada 23 Januari lepas di tepi jalan berhampiran Jambatan Kampung Nibung, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu di Bandar Permaisuri, Setiu. Mahkamah juga mengarahkan hasil jualan haiwan terbabit berjumlah RM 7,648.80 itu dilucutkan hak dan menjadi hasil kerajaan. – UTUSAN