Tidak sangka peminat K-pop kenal kami - Inteam - Utusan Malaysia

Tidak sangka peminat K-pop kenal kami – Inteam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Inteam terkejut dan terharu dengan sambutan baik diterima sejurus pengumuman konsert Kasih Kekasih yang bakal diadakan pada September ini.

Mewakili kumpulan Inteam, Hazamin tidak menyangka generasi muda mengenali mereka termasuklah peminat kumpulan muzik Korea Selatan (K-pop).

Mengintai media sosial, tidak hanya mereka berbincang strategi perang tiket malah berseloroh agar Inteam mengeluarkan ‘lightstick’ seperti yang sering digunakan ketika penganjuran konsert artis K-Pop.

“Kami terkejut melihat respons peminat muda yang mungkin sebaya anak kami.

“Kebanyakan mereka merupakan peminat K-pop, tidak sangka mereka juga mendengar nasyid dan mengenali Inteam.

“Banyak komen yang menggelikan hati, kami tiada masalah dengan jenaka itu malah kami menggalakkan mereka hadir ke konsert nasyid.

“Kami harap nasyid diterima anak muda seperti zaman kegemilangan muzik ini sekitar era 90-an dan awal 2000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Hazamin, pembelian awal tiket konsert berkenaan sudah ditempah lebih seribu peminat. Justeru dia berharap peminat sempat mendapatkan tiket mereka yang mula dijual petang ini.

Katanya lagi, memandangkan konsert Kasih Kekasih merupakan acara mesra keluarga, peminat yang sudah berkeluarga disarankan untuk membeli tiket di zon tersebut.

“Trafik pembelian tiket dijangka tinggi petang ini kerana Zepp KL hanya memuatkan lebih seribu penonton dalam satu masa.

“Kami mencadangkan pengunjung berkeluarga membeli tiket zon keluarga manakala yang datang bersama rakan boleh membeli tiket zon lelaki atau wanita.

“Semoga konsert ini berjalan lancar serta terkawal dan berharap pengunjung memperoleh manfaat daripada mesej yang disampaikan.

“Kami juga berterima kasih kepada pempengaruh yang menghebahkan tentang konsert ini,” jelasnya.

Konsert Kasih Kekasih yang dianjurkan untuk meraikan 25 tahun penubuhan kumpulan yang dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad, Abdul Rahim Osman dan Hazamin Harun itu bakal dipentaskan di Zepp KL pada 27 September ini . -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN