Tidak puas hati keputusan pemilihan, 14 AJK PKR Lenggong letak jawatan - Utusan Malaysia

Tidak puas hati keputusan pemilihan, 14 AJK PKR Lenggong letak jawatan

AJK PKR Cabang Lenggong semasa sidang akhbar di Lenggong mengumumkan peletakan jawatan mereka kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Seramai 14 Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Lenggong termasuk Naib Ketuanya meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu pada bulan lalu.

Kesemua mereka menang jawatan masing-masing semasa pemilihan pada 13 April lalu.

Wakil mereka, Abdul Malik Abd. Rahman mendakwa, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira ketidaktelusan proses pemilihan serta pelantikan Ketua Cabang yang tidak mendapat mandat daripada majoriti AJK dan ahli Cabang tersebut.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara kolektif dan mengambil keputusan ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mereka turut menandatangani Surat Akaun Sumpah berhubung langkah tersebut, selain menyatakan ketidakpercayaan sokongan terhadap Ketua Cabang, Mohamad Tahirudin Pooty yang menang jawatan tersebut dalam saingan lima penjuru.

Menurut mereka lagi, tindakan itu akan dimaklumkan kepada kepimpinan PKR negeri dan Pusat termasuk Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Mengikut kandungan surat yang dikongsikan kepada pemberita, jumlah peletakan jawatan itu dikatakan telah mencapai dua pertiga daripada keseluruhan AJK Cabang yang didakwa selaras dengan Perlembagaan parti.

Menurut surat itu lagi, Fasal 32.4 Majlis Pimpinan Pusat berkuasa menggantung atau membubarkan Cabang atau Jawatankuasa jika perlu dan mengambil alih pengurusan Cabang serta menentukan penubuhan semula atau pemilihan jawatankuasa yang baharu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN