India gantung kerja pembinaan, aktiviti lombong tangani jerebu

India gantung kerja pembinaan, aktiviti lombong tangani jerebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India memperketatkan langkah kawalan pencemaran di New Delhi dan kawasan sekitar susulan peningkatan mendadak bahan toksik di udara.

Menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar pada Sabtu, kerajaan mengarahkan pemberhentian sementara semua kerja pembinaan tidak penting, menutup operasi penghancur batu dan aktiviti perlombongan, serta menasihatkan sekolah supaya beralih kepada pembelajaran dalam talian jika perlu.

Kenderaan diesel dan petrol lama juga dilarang menggunakan jalan raya di seluruh Wilayah Ibu Negara.

New Delhi dan kawasan pinggir bandarnya merupakan antara lokasi paling tercemar di dunia, dengan jerebu musim sejuk semakin teruk akibat pembakaran sisa tanaman, mercun, kesesakan lalu lintas, aktiviti industri, dan debu pembinaan sepanjang tahun.

Walaupun terdapat sekatan kecemasan berkala, kualiti udara di New Delhi kerap melebihi had selamat, menyumbang kepada beban penyakit pernafasan yang tinggi.

Menurut IQAir, yang mengumpul data pencemaran global, indeks kualiti udara New Delhi meningkat kepada 555 pada pukul 10.30 pagi, 14 Disember.

Tahap di bawah 101 dianggap selamat, manakala nilai melebihi 300 diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Kementerian turut memaklumkan negeri jiran diminta mempertimbangkan langkah kecemasan tambahan, termasuk penutupan kolej dan institusi pendidikan lain.

Kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular kronik dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti luar dan duduk di dalam rumah seboleh-bolehnya.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN